Media Centre

18 Dec 2025

Pameran seni Galeri PETRONAS buka dimensi baharu

PELUNCURAN pameran What Song Do You Hear When You See This Painting? di Galeri PETRONAS, baru-baru ini menandakan satu pendekatan segar dalam kuratorial seni visual di Malaysia.

Dirasmikan oleh Ketua Galeri PETRONAS, Kerina Fauzi, pameran itu tidak sekadar memperagakan karya seni, sebaliknya membuka ruang penyelidikan estetik yang menghubungkan visual, memori deria dan sensasi muzikal. Dalam landskap budaya kontemporari yang menyaksikan usaha membina semula pengalaman kolektif pasca keterpisahan, pameran ini menawarkan cara baharu untuk mentafsir seni secara interdisiplin dan terbuka.

Kerina dalam ucapannya, menegaskan bahawa seni hari ini wujud sebagai pengalaman berlapis yang menuntut tafsiran melalui intuisi, sensasi dan ingatan. Justeru, pameran ini menolak pendekatan linear konvensional, sebaliknya mengemukakan pembacaan lateral yang membolehkan setiap karya membangkitkan "lagu" atau ritma tersendiri dalam imaginasi pengunjung.

Menghimpunkan 12 seniman yang mencerminkan ekologi seni visual Malaysia merentasi tradisi, kemodenan dan eksplorasi kontemporari, antara tokoh penting ialah Dr Choong Kam Kow, seniman multidisiplin berusia 91 tahun yang mula berkarya sejak era pra-kemerdekaan. Dikenali sebagai "The Teacher", sumbangannya bukan sahaja terletak pada karya, malah dalam pembentukan landskap pendidikan seni negara. Menerusi latar pendidikan di Taipei dan New York, bahasa visual beliau menggabungkan tradisi Timur dan pendekatan Barat.

Karya siri Rockscape dan Earthscape yang dipamerkan, lahir daripada pengalaman ekspedisi ke Endau Rompin, Taman Negara serta memori zaman kanak-kanaknya di Kinta, Perak.

Landskap ini menjadi medan pertemuan antara ingatan peribadi, pemerhatian alam dan renungan falsafah, disusun melalui struktur geometri dan kontras warna yang mencetuskan sensasi ritma seumpama komposisi muzik minimalis.

Pendekatan berbeza dizahirkan oleh Datuk Sharifah Fatimah Syed Zubir melalui kehalusan warna dan struktur organik yang menghasilkan "melodi" visual lembut dan harmonis. Datuk Tajuddin Ismail pula menampilkan komposisi minimalis yang berfungsi sebagai ruang hening, menyerupai jeda dalam muzik yang mengundang renungan. Tenaga berbeza diserlahkan oleh arca Mad Anuar Ismail dari Terengganu yang mengangkat semangat kepahlawanan, manakala Rafiee Ghani dengan ekspresionisme warna dan gerak garisan dinamik menghadirkan karya menyerupai improvisasi jazz, bebas tetapi tetap berstruktur.

Dimensi naratif diperkuatkan oleh Chang Fee Ming, tokoh seni cat air yang terkenal dengan rakaman visual kehidupan seharian hasil pengembaraannya merentas Asia.

Menurut beliau, setiap perjalanannya bukan sekadar untuk melihat, tetapi untuk memahami.

 "Saya melukis di tempat sebenar, hidup bersama komuniti setempat dan mengumpul objek-objek harian yang mencerminkan budaya mereka," jelasnya.

Dalam pameran ini, Fee Ming memberi penghormatan kepada wanita-wanita Asia sebagai nadi komuniti, menghasilkan karya yang hadir seperti balada sunyi berakar pada memori geografi.

Karya seni cetakan Juhari Said pula membentuk ritma visual yang tegas melalui teknik blok kayu, manakala Chok Yue Zan dari Sabah menampilkan realisme kontemporari terfragmentasi yang mencipta kesan gema memori. Dr Lyne Ismail menggabungkan latar sains nanoteknologi dengan praktik seni halus dalam karya Second Intelligence, Fractal Diffraction/Cinta dan Monolife/Jiwa.

"Saya tidak cuba menggambarkan sains. Saya mengalaminya, dan membiarkan pengalaman itu membentuk karya," katanya.

Pendekatan multidisiplin turut diperlihatkan oleh Michelle Yap melalui karya berlapis tekstur dan warna, termasuk simbol Cina yang melambangkan Keberanian dan Ketenangan, sebelum ditutup dengan Blooming Skies yang bernada optimistik.

Kehadiran Datuk M Nasir sebagai satu-satunya seniman berlatarbelakangkan muzik memberi dimensi unik kepada pameran ini. Buat pertama kali, karya catan beliau dipamerkan di Galeri PETRONAS.

Lukisan M Nasir berfungsi seperti lagu yang diterjemahkan secara visual, dengan garis sebagai melodi dan lapisan warna sebagai susunan instrumen, menjadikan karya beliau bukan sahaja dilihat, tetapi "didengar" secara intuitif.

Menurut kurator jemputan, Jamal Afiq Datuk Jamaludin, pameran ini mendorong pengalaman multisensori, menjadikan persoalan mengenai "lagu" sebagai mekanisme epistemologi yang menggabungkan deria, emosi dan memori.

Pameran yang berlangsung hingga 26 April 2026 ini membuktikan bahawa seni bukan sekadar untuk dilihat, tetapi untuk didengar, dirasa dan ditafsir. Jika sebuah imej bernilai seribu kata, pameran ini menunjukkan bahawa sebuah lukisan juga mampu melahirkan seribu lagu.

Film
Share It On

You Might Like

Show more latest news that visitor can check out below every article